Wajah Kita Dicuri AI? Deepfake Semakin Bahaya di Dunia Maya

Bayangkan anda sedang melayari media sosial seperti biasa, menonton video santai untuk mengisi masa lapang. Tiba-tiba, muncul sebuah video yang membuatkan anda tergamam kerana wajah dalam video itu adalah wajah anda sendiri. Lebih mengejutkan, individu dalam video tersebut bercakap, menyanyi, atau melakukan perkara yang pelik dan memalukan, sedangkan anda tidak pernah merakam video tersebut. Anehnya, video itu kelihatan sangat realistik  daripada suara, gaya, hinggalah ekspresi wajah, semuanya menyerupai anda. Apa yang anda saksikan bukanlah sekadar suntingan biasa, tetapi hasil teknologi canggih yang semakin membimbangkan, dikenali sebagai deepfake. Deepfake merupakan gabungan kecerdasan buatan (AI) dan algoritma pembelajaran mesin yang mampu menghasilkan video dan audio palsu yang kelihatan seolah-olah benar. Kewujudan teknologi ini bukan sahaja mengelirukan, malah boleh menjejaskan privasi, merosakkan reputasi, dan mengancam keselamatan individu.

Apa Itu Deepfake?
Deepfake ialah gabungan dua perkataan: deep learning dan fake. Ia merujuk kepada teknologi yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta video, gambar, atau audio palsu yang kelihatan seolah-olah benar. Teknologi ini boleh meniru wajah, suara, dan gerak tubuh seseorang dengan sangat meyakinkan.

Contohnya, seseorang boleh mencipta video artis terkenal membuat kenyataan yang tidak pernah diucapkan. Malah, dengan gambar biasa yang kita muat naik di media sosial, AI sudah boleh belajar meniru rupa dan suara kita.



Bagaimana Deepfake Berfungsi?
Deepfake dihasilkan melalui teknik AI yang dipanggil Generative Adversarial Network (GAN). AI ini akan belajar dari beratus atau beribu gambar dan video seseorang. Selepas cukup latihan, AI itu akan dapat mencipta semula wajah dan suara orang tersebut dalam video baharu.

Prosesnya sangat kompleks, tetapi hasil akhirnya sangat realistik. Orang biasa pun sukar untuk membezakan antara video sebenar dengan deepfake. Dengan perkembangan aplikasi dan perisian yang mudah didapati hari ini, sesiapa sahaja boleh menghasilkan deepfake hanya dengan telefon dan gambar dari internat.


Bagaimana Nak Elak Jadi Mangsa?
Walaupun teknologi deepfake sukar dielakkan sepenuhnya, pengguna masih boleh mengambil beberapa langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa. Pertama sekali, elakkan berkongsi terlalu banyak gambar atau video peribadi secara terbuka di media sosial. Semakin banyak wajah dan suara anda tersebar di internet, semakin mudah teknologi seperti deepkafe menggunakannya untuk menghasilkan kandungan palsu. Gunakan tetapan privasi dengan sebaiknya dan pastikan hanya rakan yang dikenali sahaja boleh melihat kandungan anda.

Selain itu, sentiasa berwaspada jika ternampak video yang kelihatan ganjil, luar biasa atau tidak masuk akal, terutamanya jika ia melibatkan individu yang anda kenal atau selebriti yang terkenal. Jangan terus percaya bulat-bulat. Sebaliknya, semak dahalu sumber video tersebut. Anda boleh menyemak kesahihan berita atau kandungan yang tular melalui laman web rasmi seperti Sebenarnya.my, MyCheck.my, atau menggunakan Google Fact Check Tools untuk isu-isu global. Laman-laman ini membolehkan anda mengetahui sama ada sesuatu berita atau video itu sahih atau palsu berdasarkan laporan dan semakin pihak berautoriti.

Jika anda mendapati diri anda menjadi mangsa deepfake, jangan panik. Ambil tindakan segera dengan menyimpan semua bukti yang ada seperti pautan video, tangkapan layar, atau mesej yang berkaitan. Kemudian, laporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau pihak polis untuk tindakan lanjut. Anda juga perlu menghubungi platform media sosial atau laman web yang menyiarkan video tersebut dan minta kandungan itu dipadamkan secepat mungkin.

Langkah-langkah ini mungkin tidak dapat menghapuskan risiko sepenuhnya, tetapi ia mampu mengurangkan kemungkinan anda menjadi sasaran teknologi deepfake yang kain berleluasa.

Undang-Undang Tentang Deepfake
Di Malaysia, buat masa ini belum ada undang-undang khusus untuk menangani deepfake. Namun, penyalahgunaan kandungan deepfake boleh dikaitkan dengan beberapa akta sedia ada seperti
  • Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 - untuk kes fitnah, penyebaran bahan lucah, atau penipuan.
  • Kanun Keseksaan- jika deepfake melibatkan penghinaan, ugutan, atau pelanggaran maruah.
Namun begitu, undang-undang kita masih belum cukup pantas untuk mengejar perkembangan teknologi ini. Oleh ini, kesedaran orang ramai sangat penting supaya kita lebih berhati-hati dalam dunia digital.

Kesimpulan, teknologi deepfake memang mengagumkan, tetapi juga berbahaya. Ia mampu mengubah wajah dan suara seseorang untuk tujuan yang tidak baik. Dalam dunia yang semakin digital, kita perlu lebih peka dan kritikal terhadap apa yang kita lihat dan dengar. Jangan mudah percaya. Jangan cepat sebarkan. Hari ini, mata boleh menipu, suara pun boleh disalin. Apa yang benar mungkin palsu, dan apa yang palsu boleh nampak benar. Deepfake bukan sekadar teknologi, ia adalah cabaran baru untuk keselamatan digital dan maruah manusia.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kepentingan Literasi Digital dalam Dunia Moden

9 Gadget Unik yang Wajib Dimiliki pada Tahun 2024

Elak Menjadi Mangsa Penipuan! Cara Beli Barang Online dengan Selamat dan Mudah